55,520 pelajar kembali ke sekolah, lebih selesa bersemuka

55,520 pelajar kembali ke sekolah, lebih selesa bersemuka

PELAJAR  tingkatan lima mematuhi SOP dengan mengenakan pelitup muka pada hari pertama sesi persekolahan dibuka khusus untuk pelajar yang akan mengambil peperiksaan di SMK Aminuddin Baki, Johor Bahru, Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 55,520 pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam kembali menyambung sesi persekolahan masing-masing secara bersemuka di 270 buah sekolah menengah di negeri ini mulai hari ini. 

Jumlah itu melibatkan seramai 49,475 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 dan 2021; 4,857 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan 1,188 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Pelajar Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Mardhiah Izam Nawi, 18, berkata, pembelajaran secara bersemuka di sekolah adalah lebih baik dalam membantunya menguasai mata pelajaran yang diajar. 

Katanya, belajar di sekolah juga lebih bagus kerana segala permasalahan atau persoalan boleh diajukan secara terus kepada guru.

“Bila belajar di rumah secara atas talian kadang-kala tiada kesedaran atau kesungguhan untuk menimba ilmu.

“Tetapi belajar di sekolah rasa nikmat belajar, walaupun dengan suasana norma baharu, saya yakin akan lebih tekun dan bersungguh-sungguh belajar dalam kelas,” katanya.

Seorang lagi calon SPM, Adlina Mohd. Marsidi, 18, berkata, persiapan awal persekolahan telah dibuat sejak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman pembukaan sesi persekolahan pada 31 Disember tahun lalu.

Menurutnya, dia lebih suka belajar secara bersemuka berbanding pembelajaran atas talian kerana lebih mudah untuk bersoal jawab.

“Persiapan menduduki peperiksaan telah dibuat sejak belajar dalam talian tahun lalu dan semangat pergi sekolah hari ini berbeza sebab saya tidak sabar hendak menduduki peperiksaan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, sesi persekolahan yang hanya melibatkan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM hari ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dikenakan.

Katanya, hanya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan sahaja dibenarkan bersekolah setakat ini mengikut arahan Kementerian Pendidikan bagi memudahkan pengawalan penjarakkan fizikal. 

“Memandangkan jumlah kes harian mencecah 3,000 kes, kementerian mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri supaya meminta guru mengawal operasi sekolah mengikut SOP,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan SMK Sultan Ismail, di sini hari ini. 

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti Negeri Johor (KPIBPK), Datuk Yahya Jaafar meninjau operasi hari pertama persekolahan di situ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya