5 produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual - Utusan Malaysia

5 produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual

NPRA mengesan lima produk kosmetik mengandungi racun berjadual dan melarang penjualannya di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan mengesan lima produk kosmetik mengandungi racun berjadual dan melarang penjualannya di seluruh negara.

Produk-produk kosmetik berkenaan adalah Beauty Sleep Treatment Cream yang dikesan mengandungi hidrokuinon dan tretinoin; Beauty Sleep Nite Cream (merkuri); Lana Radiance Night Cream (hidrokuinon); Oxy Cream By Viprolabs (clotrimazole) dan Zuya Skincare Night Treatment A Cream (merkuri). 

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datin Dr. Faridah Aryani Md. Yusof berkata, produk yang mengandungi clotrimazole, hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan  Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Faridah berkata, clotrimazole (antifungal) yang diguna secara tidak terkawal boleh meningkatkan risiko kerintangan dan seterusnya mengurangkan keberkesanan merawat jangkitan pada masa hadapan. 

Menurutnya, hidrokuinon pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit, kulit menjadi hipersensitif di samping boleh mengundang pigmentasi dan mengurangkan pelindungan kulit dari pancaran sinar UV seterusnya meningkatkan risiko kanser kulit.

“Sementara itu, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Penggunaan merkuri  juga dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. 

“Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan,” katanya. 

Sehubungan itu, Faridah berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut serta merta. 

“Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya. 

Katanya lagi, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. 

“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya. 

Jelas beliau, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan segera menghentikan penggunaan dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya