5 dana bernilai RM220 juta dilancar bagi perkasa teknologi negara - Utusan Malaysia

5 dana bernilai RM220 juta dilancar bagi perkasa teknologi negara

KHAIRY Jamaluddin (dua kanan) melancarkan Malaysia Grand Challlenge (MGC) di Kementeriannya MOSTI di sini, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memperuntukkan dana pembiayaan bernilai RM220 juta bagi memperkasakan Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi.

 Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, inisiatif baharu diperkenalkan itu meliputi lima skim dana penyelidikan dan pembangunan melalui program khas, Cabaran Besar Malaysia (MGC).

“Ia di bawah Program Dana Pemacu Teknologi Strategik (Pemacu) yang diperluaskan kepada syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk tampil memohon,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Malaysia Grand Challenge dengan peruntukan dana sebanyak RM220 juta di kementeriannya di sini hari ini.

MGC ujarnya, sejajar dengan usaha negara merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan ditetapkan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

“MGC bakal memberi manfaat perkembangan kreativiti dan pengkomersialan produk tempatan melalui kaedah lestari bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar,” katanya.

Lima dana skim Pemacu itu jelas Khairy, meliputi Dana Penyelidikan Strategik (SRF), Dana Pembangunan Teknologi 1 dan 2, Dana Jambatan (BGF) serta Dana Inovasi Gunaan (AIF).   

Ia disalurkan menerusi agensi kementerian antaranya Cradle Fund Sdn. Bhd., Malaysia Technology Development Corporation dan Malaysia Venture Capital Management Berhad.

Turut terlibat dalam pembiayaan dana itu ialah Malaysia Debt Venture, Kumpulan Modal Perdana, NanoMalaysia Bhd. serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

“Saya berharap usaha ini akan mencapai sasaran 3.5 peratus perbelanjaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030 berbanding ketika ini baru 1.5 peratus,” katanya.

Ditanya pemberita kenapa kementerian itu berbelanja besar untuk tujuan tersebut, Khairy berkata, ia jelas tanggungjawab kerajaan dan tidak boleh bergantung kepada sektor swasta.

Beliau memberikan contoh penglibatan kerajaan Amerika Syarikat sendiri dalam program sedemikian turut membantu banyak firma teknologi negara itu menghasilkan produk terbaik bertaraf dunia.

Sambil mengakui ada kemungkinan produk yang dibangunkan oleh pengusaha itu gagal, beliau menambah, kerajaan tetap membantu daripada dibiarkan langsung jika diurus pihak swasta sendiri.

“Kerajaan perlu campur tangan terutama aspek pengkomersialan hingga berjaya ke pasaran global dan saya tidak mahu produk tempatan yang dihasilkan sekadar ‘syok’ sendiri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya