48 petugas kesihatan HSNZ dijangkiti Covid-19 - Utusan Malaysia

48 petugas kesihatan HSNZ dijangkiti Covid-19

Pengurusan rawatan pesakit di HSNZ, Kuala Terengganu masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal walaupun seramai 48 kakitangan dijangkiti Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan negeri mengesahkan seramai 48 kakitangan pelbagai jawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dijangkiti Covid-19 setakat semalam. 

Bagaimanapun, Pengarahnya, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pengurusan rawatan pesakit di hospital itu masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal. 

Di samping itu, katanya, perkhidmatan unit rawatan rapi (ICU), dewan bedah dan perkhidmatan kecemasan turut berjalan seperti biasa. 

“Namun, bagi mengurangkan gangguan pada perkhidmatan sedia ada, perkhidmatan untuk rawatan kes-kes ringan di Jabatan Kecemasan & Trauma, HSNZ ditutup buat sementara bermula semalam.

“Orang awam yang ingin mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan (zon hijau) masih boleh mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan di Jabatan Pesakit Luar, HSNZ atau klinik-klinik kesihatan berdekatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Nor Azimi berkata, kesemua petugas kesihatan HSNZ yang dijangkiti Covid-19 kini diasingkan dan menerima rawatan. 

Katanya, siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca jangkitan masih dijalankan di samping kontak rapat yang turut disaring dan diasingkan. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar usah menularkan sebarang berita tidak sahih bagi mengelakkan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. 

“Jabatan Kesihatan negeri akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit di kawasan hospital,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN