4,094 kes positif, 3,281 kes sembuh - Utusan Malaysia

4,094 kes positif, 3,281 kes sembuh

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan kes harian Covid-19 melepasi 4,000 kes untuk kali ketiga iaitu 4,094 kes sejak wabak terbabit direkodkan di negara ini yang kali pertama pada 16 Januari lalu, iaitu 4,029 kes.

Ia menjadikan kes positif negara sebanyak 198,208 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 43,192 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 303 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), iaitu 118 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 10 kematian serta sembilan kluster.

Katanya, bagi kes sembuh, Malaysia merekodkan sebanyak 3,281 kes yang menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sepenuhnya iaitu 154,299 kes.

“Selangor terus menjadi negeri tertinggi kes positif baharu iaitu 1,577 kes diikuti Johor, 717 kes; Kuala Lumpur, 678 kes; Sabah, 282 kes; Sarawak, 171 kes.

“Baki negeri pula merekodkan kes dua angka iaitu Pulau Pinang, 99 kes; Kedah, 92 kes; Terengganu, 80 kes; Melaka, 73 kes; Pahang, 72 kes; Labuan, 55 kes; Negeri Sembilan, 48 kes; Kelantan, 37 kes; Putrajaya, 10 kes manakala Perlis, sembilan kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, kes kematian membabitkan Selangor dan Sabah, masing-masing tiga kes; Kuala Lumpur, dua kes manakala Kedah dan Sarawak, masing-masing satu kes.

Katanya,sebanyak sembilan kes melibatkan warga tempatan dan satu kes warga asing.

“Pesakit membabitkan tujuh lelaki termasuk seorang warga asing dan tiga wanita berusia antara 22 hingga 89 tahun.

“Lapan pesakit berusia 62 hingga 89 tahun mempunyai pelbagai latar belakang penyakit seperti jantung, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, paru-paru kronik, dementia, gout dan strok,” katanya.

Mengulas mengenai sembilan kluster, beliau berkata, lima kluster membabitkan tempat kerja, tiga berkaitan komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, tiga kluster berkaitan tempat kerja di Johor iaitu Kluster Jalan Faizal di Pontian, sebanyak 68 kes dari 400 individu serta Kluster Jalan Satria di Johor Bahru, sebanyak 38 kes dari 83 individu dan Kluster Jalan Dewani Satu di Johor Bahru, sebanyak 16 kes dari 166 individu yang disaring.

“Dua kluster lagi iaitu Kluster Industri Peramu Jaya di Pekan, Pahang, sebanyak 11 kes dari 95 individu dan Kluster Taman Mahkota Impian di Labuan, sebanyak tujuh kes dari 83 individu.

“Tiga berkaitan komuniti pula iaitu Kluster Jalan Pakat di Kuala Selangor, Selangor, sebanyak 27 kes dari 74 individu dan Kluster Indah Riang melibatkan Kuching, Simunjan, Samarahan, dan Saratok, Sarawak, sebanyak 20 kes dari 150 individu serta Kluster Kampung Kemansur di Bentong, Pahang, seramai 43 individu disaring, iaitu 11 kes dikesan positif,” katanya.

Tambahnya, Kluster Jalan Kejora adalah kluster kumpulan berisiko tinggi melibatkan Melaka Tengah, Alor Gajah, dan Jasin, Melaka serta Bandar Baharu, Kedah, seramai 248 individu telah disaring, di mana 36 kes dikesan positif. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya