4 inisiatif perangi wabak Covid-19 - Utusan Malaysia

4 inisiatif perangi wabak Covid-19

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, matlamat pertama memerangi wabak Covid-19 di bawah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi Rakyat Malaysia (Permai), kerajaan memfokuskan empat inisiatif utama.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion  merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi  lain yang terlibat. 

Kata beliau, penyediaan peruntukan itu menumpukan kepada  bekalan antaranya tambahan reagen dan kit saringan, serta peralatan perlindungan diri (PPE) terutama kepada petugas kesihatan.  

“Inisiatif pertama ialah melaksanakan Program Vaksinasi Covid-19. Sukacita saya mengumumkan bahawa perancangan program  vaksinasi kita adalah on-track. 

“Kerajaan telah menandatangani tiga  perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin dan dijangka menerima  bekalan vaksin yang pertama pada penghujung bulan Februari nanti,” katanya dalam perutusan Pakej Bantuan Khas, hari ini.

Muhyiddin berkata,  melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19  yang telah ditubuhkan, kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan  vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan akan diberi perhatian utama dengan peruntukan RM3 bilion khusus bagi perolehan itu. 

Katanya, bagi penetapan mereka yang akan menerima vaksin kelak, garis panduan dan kaedah penentuan bagi  individu yang perlu mengambil vaksin ini akan dihebahkan.

Beliau memberitahu, program vaksinasi itu dijangka berjalan secara berperingkat sehinggalah  tempoh keseluruhannya selama 12 bulan. 

“Ini bermakna, kumpulan  pertama yang dijangka menerima vaksin adalah pada awal Mac dan dapat meliputi lebih daripada 80 peratus atau hampir 27 juta penduduk  Malaysia menjelang suku pertama tahun 2022. 

“Saya juga ingin berkongsi bahawa Jawatankuasa Muzakarah Majlis  Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan hukum  penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus, dan wajib diambil oleh  golongan yang ditetapkan,” katanya. 

Melalui inisiatif kedua iaitu Mengukuhkan Sistem Kesihatan Negara, Perdana Menteri berkata, seramai 8,000  petugas kesihatan tambahan untuk Kementerian Kesihatan telah  diluluskan pada tahun lalu. 

Mengambil kira situasi semasa, katanya, kerajaan akan menambah lebih daripada 3,500 anggota kesihatan yang mula  bertugas pada hujung bulan ini, dengan peruntukan tambahan RM150 juta terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik,  juruteknologi makmal dan jururawat. 

“Saya memberi jaminan, sekiranya  terdapat keperluan akan datang dan bagi menggerakkan program  imunisasi kelak, kerajaan bersedia menambah pengambilan baharu.

“Seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021, pemberian  one-off sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan  kesihatan, RM300 ringgit kepada petugas barisan hadapan yang lain  akan mula dibayar dalam suku tahun pertama tahun ini manakala bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 (petugas barisan hadapan kesihatan) dan RM200 (petugas barisan  hadapan lain) akan tetap diteruskan sehingga wabak Covid-19 ini  berakhir,” katanya. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bagi meningkatkan kerjasama dengan hospital swasta di bawah inisiatif ketiga, hospital swasta bersetuju untuk menerima dan merawat kedua-dua pesakit Covid-19  dan bukan Covid-19 bagi meringankan tekanan kepada sistem  kesihatan awam dengan peruntukan RM100 juta. 

Selain itu, kata beliau, saringan kesihatan pekerja akan diperkukuhkan di bawah inisiatif keempat sebagai memahami kerisauan rakyat mengenai jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing, terutamanya mereka yang bekerja di  tapak pembinaan dan kilang. 

Dengan itu, jelas beliau, prosedur operasi standard (SOP) bagi pembinaan bangunan  semasa PKP mensyaratkan syarikat menyediakan penginapan lengkap  dan menghadkan pekerjanya ke tapak pembinaan. 

Selaras itu, katanya, majikan  disarankan untuk memperketatkan amalan SOP, menambah baik  penginapan dan kawalan pergerakan pekerja asing serta meningkatkan  saringan bagi menyokong usaha membendung penularan Covid-19.

“Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut terlibat dalam pelaksanaan Program  Ujian Saringan Covid-19 ke atas pekerja asing yang berdaftar dan kos  saringan akan ditanggung sepenuhnya PERKESO di zon-zon merah  bagi mengenal pasti kluster Covid-19 di tempat kerja. 

“Dari 1 Disember  2020 hingga semalam, bilangan pekerja asing yang telah  menjalani ujian saringan adalah seramai 160,982 orang,” katanya 

Perdana Menteri turut memberitahu, skop  pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh yang telah dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 seperti diumumkan  pada Belanjawan 2021, kini diperluaskan untuk meliputi bayaran ujian pengesanan Covid-19 bagi menyokong lebih banyak individu membuat ujian  saringan dan pengesanan Covid-19 secara persendirian. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya