31 ditahan terlibat judi laga ayam - Utusan Malaysia

31 ditahan terlibat judi laga ayam

MAZUKI Mat (dua dari kanan) menunjukkan ayam laga yang dirampas dalam serbuan di sebuah ladang sawit semalam pada sidang akhbar di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Seramai 31 lelaki ditahan setelah terlibat dalam aktiviti perjudian laga ayam di kawasan ladang sawit di Changkat Lobak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, bertindak hasil maklumat orang awam, sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Ibu pejabat  Polis Daerah (IPD) Kerian telah membuat serbuan di ladang sawit berkenaan pada pukul 3 petang.

Menurutnya, dalam serbuan itu, 31 orang berjaya ditahan manakala lebih 120 orang melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran  pihak polis.

Beliau berkata, hampir kesemua suspek yang ditahan bukan warga tempatan yang berusia 27 hingga 68 tahun dan seorang penjawat awam.

“Gelanggang sabung ayam terletak jauh ke dalam ladang kelapa sawit iaitu hampir empat kilometer dari jalan utama.

“Dalam serbuan itu, polis menemukan beberapa peralatan yang digunakan untuk berjudi laga ayam.

“Polis merampas 27 ekor ayam sabung hidup, lima ekor ayam yang sudah mati, pelbagai peralatan yang digunakan untuk sabung ayam dan wang tunai sebanyak RM91,570,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mazuki berkata,  semua yang ditahan dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Kerian untuk siasatan lanjut dan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM150,000.

“Kesemua suspek direman sehingga Rabu ini dan akan segera dituduh di mahkamah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah tiga  Seksyen yang berbeza iaitu Seksyen 7(2)Akta rumah judi terbuka 1953 kerana berjudi di tempat awam.

“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 3(1)langkah -langkah pencegahan dan penganaiyaan terhadap  binatang 1952 kerana telah melakukan penganaiyaan terhadap binatang dan Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya