300 sukarelawan Rakan Muda Terengganu sedia bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

300 sukarelawan Rakan Muda Terengganu sedia bantu mangsa banjir

MOHD. IZWANDY Ismail (tiga dari kiri) semasa Program Misi Skuad Sukarelawan Bencana Rakan Muda (Pasca) Peringkat Hulu Terengganu di Kampung Basung, Hulu Terengganu hari ini.-UTUSAN/ NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kira-kira 300 sukarelawan Rakan Muda di seluruh Terengganu bersedia digerakkan pada bila-bila masa untuk membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di daerah yang terjejas di negeri ini.

Pengarah Belia dan Sukan negeri, Mohd. Izwandy Ismail berkata, fokus tidak hanya tertumpu untuk membersihkan kediaman mangsa bah, malah, menyeluruh melibatkan tempat-tempat awam seperti masjid, balai raya dan perpustakaan.

Katanya, setiap daerah mempunyai sekurang-kurangnya 30 sukarelawan Rakan Muda yang berdaftar dan kalangan mereka yang berada di lokasi tidak terjejas banjir akan digerakkan membantu komuniti setempat lain.

“Bagi daerah terjejas teruk iaitu Kemaman dan Dungun, seluruh sukarelawan Rakan Muda akan digerakkan untuk berkampung di sana.

“Di samping itu, beberapa pasukan lain termasuk Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Majlis Belia Daerah dan Negeri akan turut membantu misi skuad Rakan Muda dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Misi Skuad Sukarelawan Bencana Rakan Muda (Pasca) Peringkat Hulu Terengganu di Kampung Basung, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pegawai Belia dan Sukan daerah, Yusof Mat Nor.

Menurut Mohd. Izwandy, selain kerja-kerja pembersihan bantuan barangan keperluan harian turut disalurkan kepada mangsa yang terjejas.

“Pihak Sekretariat Pengurusan Bencana Sukarelawan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan negeri mengalu-alukan sumbangan orang ramai dan boleh dihantar ke pejabat kami di Pasir Panjang di sini atau ke pejabat belia dan sukan daerah masing-masing,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN