KOTA BHARU: Gara-gara tidak memakai pelitup muka selain melepak hingga tengah malam, tiga lelaki dikompaun pihak polis dalam satu operasi di medan selera di hadapan sebuah hotel, di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam. ketiga-tiga lelaki berusia 19 hingga 23 tahun itu dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mereka dikompaun ketika sepasukan anggota melakukan operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini berkuat kuasa hari ini, polis akan meningkatkan operasi di lokasi awam seperti pasar raya, restoran dan tempat ibadah dalam usaha untuk memastikan masyarakat mematuhi SOP.
“Selain anggota polis, penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) turut sama dalam operasi itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, ketiga-tiga lelaki terbabit dikompaun mengikut Peraturan 12 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 13(1 ) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar SOP PKPB.
Katanya, mereka diarahkan menjelaskan kompaun itu dalam tempoh 14 daripada hari ini. -UTUSAN ONLINE