PUTRAJAYA: Seramai 277 individu ditahan dalam Operasi Pematuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan kesalahan tertinggi melibatkan 102 individu gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan lain yang dikenal pasti ialah tidak memakai pelitup muka (67), aktiviti pusat hiburan (64), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (43) dan lain-lain kesalahan (satu).
“Sebanyak 47,770 pemeriksaan dilakukan melibatkan 2,783 pasukan dengan kekuatan 11,688 anggota.
“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng semalam berjaya menahan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas sembilan kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara.
Kata beliau, bagi memperkukuh kawalan sempadan di Pulau Ketam, Selangor, kerajaan akan membina Pos Terapung (Floating Barge) Gabungan Keselamatan di pulau itu memandangkan berlaku peningkatan kemasukan dan tangkapan PATI yang ketara dalam tempoh dua tahun.
“Pada 2019 seramai 328 PATI ditangkap di Pulau Ketam dan sebanyak 21 rampasan dibuat dengan nilaian RM2.3 juta.
“Namun, jumlah ini terus meningkat pada tahun lalu dengan seramai 2,002 PATI ditangkap dan 207 rampasan dibuat dengan nilai RM 11.7 juta,” katanya.
Mengenai kuarantin wajib, beliau berkata, sejak 24 Julai tahun lalu, seramai 100,319 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 7,735 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 80 hotel dan 17 premis lain termasuk premis lain.
“Seramai 540 individu pula dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 92,044 individu dibenarkan pulang ke rumah.
“Bagi tempoh semalam sahaja, seramai 839 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan kesemuanya dikuarantin wajib di stesen kuarantin seluruh negara.
“Kita masih memperketatkan pintu masuk sempadan negara walaupun terdapat cadangan Projek Rintis Gelembung Perjalanan Qatar Airways – Langkawi, bagi tujuan pelancongan, namun kerajaan masih belum membenarkannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE