253 ditahan dengan ramai tidak memakai pelitup - Utusan Malaysia

253 ditahan dengan ramai tidak memakai pelitup

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 253 individu ditahan semalam atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kesemua ditahan oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis dengan melakukan sebanyak 47,237 pemeriksaan dan meliputi pelbagai premis di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 252 dikompaun dan seorang direman dengan kes tertinggi ialah 115 individu ditahan tidak memakai pelitup muka.  

“Ini diikuti gagal sedia alat merekod butiran diri (88), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (23), aktiviti pusat hiburan (16) dan Tiada jarak fizikal (11),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sejumlah 2,733 pasukan pematuhan meliputi 12,254 anggota memantau 3,416 pasar raya, 4,561 restoran, 1,719 penjaja, 1,335 kilang, 3,169 bank dan 605 pejabat kerajaan.

Turut dipantau oleh pasukan tersebut ialah sebanyak 989 terminal pengangkutan darat, 205 terminal pengangkutan air dan 106 terminal pengangkutan udara.

Sejumlah 18 pendatang asing tanpa izin, tiga tekong juga ditahan melalui Operasi Benteng meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan Covid-19.

“Sebanyak tujuh buah kenderaan darat juga dirampas, manakala 111 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” jelas Ismail Sabri.

Dalam pada itu, 38 operasi sanitasi awam juga dijalankan melibatkan 15 zon merah, satu zon jingga, enam zon kuning dan enam zon hijau di tujuh negeri serta dua Wilayah Persekutuan.

 Sejak 30 Mac lalu, sebanyak 2,969 pusat perniagaan, 1,709 kawasan perumahan, 3,007 tempat awam, 357 pasar raya dan 7,102 bangunan kerajaan sudah disanitasi dalam operasi itu.

 Menyentuh kuarantin wajib ujarnya, sehingga kini seramai 8,474 individu pulang ke tanah air sedang menjalani proses itu, manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Sejumlah 103,054 individu sudah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani kuarantin wajib di 78 buah hotel serta 16 institut latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan semalam memeriksa 19 tapak binaan dengan kesemuanya didapati mematuhi peraturan SOP yang ditetapkan kerajaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemeriksaan 12 jenis bekalan barangan di 552 peruncit, 166 pemborong dan 29 pengilang.

Pegawai penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,350 pemeriksaan khas pematuhan SOP di seluruh negara dengan kesemua premis diperiksa mematuhi peraturan ditetapkan itu.

 Ismail Sabri turut memaklumkan pelaksanaan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri dan kesemua tiga Wilayah Persekutuan selama dua minggu.

 Justeru, beliau memnasihatkan masyarakat agar menjaga keselamatan diri dan mematuhi SOP selain mengamalkan kawalan kendiri serta mengikut arahan dikeluarkan pihak berkuasa.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya