230 polis Johor dikenakan tindakan tatatertib - Utusan Malaysia

230 polis Johor dikenakan tindakan tatatertib

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 230 pegawai, anggota dan pegawai awam Polis Kontinjen Johor dikenakan tindakan tatatertib pada tahun lalu dengan lima daripada mereka merupakan pegawai kanan pasukan beruniform itu. 

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, peningkatan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri yang dikenakan tindakan itu adalah disebabkan oleh kesalahan dadah dan salah laku. 

“Daripada jumlah tersebut, seramai 44 telah dituduh di mahkamah melibatkan 43 anggota dan seorang pegawai, manakala seramai 53 anggota dan empat pegawai kanan lagi dikenakan tindakan tahan kerja.

“Selain itu, seramai 12 anggota dikenakan tindakan gantung kerja selain 46 orang anggota lagi turut dikenakan tindakan buang kerja,” katanya dalam Laporan Prestasi Tahun 2020 dan Amanat Ketua Polis Johor di sini hari ini. 

Ayob Khan berkata, sepanjang tahun lalu juga, Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) negeri telah menerima sebanyak 544 aduan dengan 484 daripadanya telah dikemukakan maklum balas, namun bakinya tidak dapat diberikan respon kerana aduan tersebut adalah daripada surat layang. 

Menurut beliau, JIPS negeri aktif mengesan kesalahan salah laku warga PDRM Johor dan telah menjalankan serbuan dan tangkapan ke atas pegawai, anggota dan pegawai awam yang terlibat dengan salah laku. 

“Kes dadah merekodkan jumlah serbuan tertinggi iaitu 38 serbuan dan pemeriksaan yang dibuat mendapati seramai 24 anggota polis positif dadah.

“Penekanan dalam aspek integriti dan isu rasuah telah mula menampakkan hasil dalam kalangan kakitangan PDRM Johor setelah beberapa anggota dan pegawai menolak sogokan wang tunai dalam jumlah yang besar pada tahun lalu,” katanya. 

Pada 1 Disember lalu, seorang anggota pasukan tindakan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah menolak sogokan RM45,000 dari seorang suspek agar tindakan tidak diambil dalam satu serbuan di pusat hiburan di Seri Alam, dekat sini. 

Dalam kes berasingan, seorang pegawai dari Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam juga telah menolak sogokan RM29,600 dari seorang penyeludup rokok di Skudai, dekat sini pada 2 Disember lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya