23 set bubu naga dirampas di Kuala Kurau - Utusan Malaysia

23 set bubu naga dirampas di Kuala Kurau

BUBU naga yang dirampas Maritim Malaysia di Bagan Tiang, dekat Kuala Kurau semalam. -GAMBAR IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau berjaya merampas 23 set bubu naga di kedudukan 0.6 batu nautika timur laut Bagan Tiang, dekat Kuala Kurau semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Sharenliza  Ghazali berkata, rampasan itu dilakukan pada pukul 3.05 petang hasil serbuan dilakukan pihaknya di lokasi tersebut.

“Peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan itu dirampas hasil daripada aduan nelayan setempat mengenai aktiviti dilarang ini berleluasa di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut beliau, kesemua bubu naga yang disita itu dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kurau untuk melalui proses undang-undang bagi mendapatkan perintah lucut hak dari mahkamah.

 Mohd. Sharenliza berkata, bubu naga yang melebihi dua injap itu tidak dilesenkan penggunaannya berdasarkan pekeliling semasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia. 

Katanya, pada tahun lepas sahaja pihaknya telah merampas sebanyak 1,415 set bubu naga dan telah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan.

“Penggunaan bubu naga boleh menjejaskan sumber perikanan kerana sifatnya yang tidak selektif serta penggunaannya juga telah mencetuskan konflik sosial dan pertelingkahan di antara pengusahanya dengan pengusaha pukat hanyut serta pengusaha bot pukat tunda kerana ia dipasang di antara jarak 2 hingga 9 batu nautika dari pantai,” katanya.

Mohd. Sharenliza menggesa orang awam bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya