BUKIT MERTAJAM: Seramai 23 majikan dikenakan kompaun serta didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sejak akta tersebut dikuatkuasakan 1 September tahun lepas.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, antara kesalahan itu termasuk tidak mematuhi peraturan penyediaan penginapan kepada pekerja, tidak mengikut prosedur atau garis panduan yang ditetapkan untuk tujuan tersebut serta beberapa kesalahan lain seperti melibatkan kebersihan tempat tinggal dan sebagainya.
“Semua tindakan ini kita ambil selepas beberapa kertas siasatan dibuka hasil daripada 100 operasi berkaitan yang dijalankan di seluruh negara sebelum ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengetuai operasi bersepadu khas anjuran Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk memeriksa kediaman pekerja asing di sekitar Bukit Tengah, di sini hari ini.
Selain JTKSM, operasi yang membabitkan keseluruhan 30 anggota itu turut melibatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Majlis Bandaraya Seberang Prai (MBSP) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Sementara itu, kata Awang, pihaknya bukan sengaja mencari kesalahan atau mendenda majikan menerusi operasi-operasi yang telah dijalankan sebelum ini.
Sebaliknya beliau berkata, operasi itu diadakan sebagai peringatan supaya pihak majikan turut bekerjasama dengan kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, tahap pematuhan majikan ketika ini telah mencecah 80 peratus dan boleh dianggap agak memuaskan buat masa ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE