TELUK INTAN: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa hampir 20 minit untuk memujuk seorang wanita warga emas yang enggan dipindahkan dari rumahnya yang dilanda banjir di Kampung Chikus, dekat sini hari ini.
Wanita berusia 60 tahun itu memberi alasan mahu menunggu bapa saudaranya yang tidak pulang sejak rumahnya dilanda banjir.
Seramai enam anggota APM Teluk Intan berusaha memujuk wanita itu dengan memanggilnya supaya turun dari rumahnya, namun tidak dipedulikan.
Bimbang berlaku perkara tidak diingini, seorang anggota APM naik ke atas rumah wanita itu dan dia akhirnya berjaya dipujuk sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Langkap di sini.
Wanita berkenaan memberitahu dia tidak mahu berpindah kerana hendak menunggu banjir surut dan memindahkan barang di rumahnya selain menunggu bapa saudaranya yang tidak pulang ke rumah sejak banjir melanda kawasan berkenaan.
“Siapa nak selamatkan barang di rumah saya, bukan senang nak beli peralatan rumah semasa Covid-19 ini,” katanya. – UTUSAN