KUALA LUMPUR : Sebanyak 19 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dipercayai cuba menyeludup senjata api ke negara ini.
Mereka yang ditahan terdiri 13 lelaki warga Indonesia dan enam tempatan itu ditahan semasa serbuan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), dalam Operasi Benteng pada 1 Januari lalu di Taman Tampoi Utama, Johor Bahru.
Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata siasatan awal tidak menemukan sebarang elemen untuk cubaan melakukan serangan di dalam negara ini.
“Setakat ini, berdasarkan siasatan awal kita tidak nampak ke arah faktor itu dan tiada unsur berkenaan namun tujuan utama mereka memiliki senjata itu sedang disiasat
“Selain itu, kita juga sedang mengenal pasti sekiranya ada terdapat penglibatan individu lain,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras di sini semalam.
Dalam majlis itu, Acryl Sani telah melancarkan buku sejarah penubuhan Briged Tengah PGA dan Batalion 4, 5, 6, 19.
Turut hadir Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar dan Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim.-UTUSAN ONLINE