PETALING JAYA: Di sebalik kekalutan ibu bapa mendapatkan gajet selepas kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diperkenalkan, peniaga barangan elektronik dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga gajet berikutan permintaan yang tinggi di seluruh negara.
Hal itu terbukti apabila pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap 180 premis menjual barangan elektronik dan komunikasi dalam tempoh empat hari bermula Isnin hingga kelmarin menunjukkan kesemuanya diberikan notis tunjuk sebab kerana dipercayai menaikkan harga gajet.
Pengarah Penguat kuasanya, Azman Adam berkata, notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 itu diserahkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos belian barangan tersebut bagi suatu tempoh untuk mengesan sekiranya wujud sebarang elemen mencatut.
Jelasnya, peniaga diberikan tempoh dua hari bekerja mengemukakan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan atau boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21(5) AKHAP 2011.
“Bagi memastikan hak pengguna terpelihara, penguat kuasa KPDNHEP akan melakukan Op Catut 8.0 (kelengkapan elektronik dan komunikasi) selama dua minggu bermula Isnin lalu hingga 7 Februari.
“Kita akan melakukan pemantauan maklumat harga jualan bagi komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak dan telefon bimbit yang mendapat permintaan tinggi untuk kegunaan pelajar,” katanya dalam kenyataan.
Azman menegaskan, pihaknya sentiasa komited memantau harga barangan keperluan ini supaya peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik.
“Setakat ini kita hanya terima sembilan laporan berkaitan kenaikan harga barangan elektronik ini. Mana-mana peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa mematuhi perundangan pencatutan akan diambil tindakan tegas.
“Pengguna dinasihatkan supaya membuat perbandingan harga, memilih platform dalam talian yang dipercayai dan menyimpan setiap resit pembelian yang dibuat bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin berlaku di masa hadapan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE