GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri merampas 14 set bubu naga di perairan Sungai Kerian, dekat sini pada pukul 3 petang semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bubu naga itu dikesan di kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika barat daya Sungai Kerian ketika Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan Op Benteng di sekitar perairan Pulau Pinang.
“Kesemua set bubu naga tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan iaitu bubu naga.
Tambahnya, kesalahan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
“Maritim Malaysia memandang serius kesalahan ini kerana penggunaan peralatan bubu naga secara haram boleh menjejaskan sumber perikanan negara.
“Ini disebabkan sifatnya yang tidak selektif selain turut memerangkap anak-anak ikan komersial sekali gus memberi kesan buruk kepada sumber hasil laut dan memusnahkan biodiversiti marin,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146. – UTUSAN ONLINE