KEMAMAN: Banjir yang melanda daerah ini sejak Ahad lalu bukan sahaja melimpah ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai di sini, malah seramai 11 pegawai dan anggotanya turut menjadi mangsa bah selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga tiga meter.
Bagaimanapun, kesemua pegawai dan anggota itu tetap komited menjalankan tugas menyelamat dan membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir.
Di sebalik tanggungjawab berkhidmat untuk masyarakat dan memastikan nyawa orang ramai menjadi keutamaan, hakikatnya, keluarga mereka turut ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan kediaman masing-masing.
Ketua BBP Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, rumahnya di Bandar Baru Bukit Mentok di sini dinaiki air ketika dia keluar bertugas, pada malam Rabu lalu.
Katanya, kemungkinan untuk kawasan kediamannya dilanda banjir sudah disedari sejak pagi dan bertindak memindahkan isteri serta tiga anaknya ke PPS lebih awal.
“Semasa hendak keluar bertugas pada awal pagi saya dapati longkang di sekitar rumah sudah penuh dan segera memindahkan keluarga ke PPS.
“Saya hanya sempat membawa pakaian manakala barangan lain seperti perabot, komputer riba dan peralatan elektrik termasuk mesin basuh, televisyen dan peti sejuk tidak dapat dialihkan kerana bergegas untuk keluar bertugas,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mohd. Zailani berkata, sepanjang menghuni di kawasan perumahan itu sejak 2014 sudah empat kali dia dan keluarga berdepan bencana banjir dan walaupun barangan rumahnya berisiko rosak, namun dia reda kerana keutamaan adalah terhadap nyawa orang awam.
Katanya, sebelum kejadian kediamannya ditenggelami bah itu, lebih seminggu dia tidak dapat pulang ke rumah kerana kekangan kerja membantu mangsa banjir dan sesekali melelapkan mata ketika berada di dalam trak sebelum operasi menyelamatkan penduduk.
Sementara itu, seorang anggota bomba, Roslan Che Abdul Rahman berkata, dia dan keluarga tidak tidur malam sebaik menyedari air mula melimpah ke kawasan perumahannya kira-kira pukul 2 pagi, Rabu lalu.
“Kami sekeluarga berjaga untuk mengemas barang-barang dan saya juga menghantar isteri serta anak ke PPS sebelum air memasuki kediaman, dengan terkini paras banjir adalah setinggi betis,” katanya.- UTUSAN ONLINE