MELAKA: Seramai 11 konco Geng Adik yang aktif melakukan kegiatan mencuri tabung ekzos kereta dipercayai untuk dijual di pasaran luar negara bagi mengeluarkan serbuk emas putih berjaya diberkas, awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kesemua suspek yang berusia antara 23 sehingga 43 tahun diberkas pasukan khas dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Melaka Tengah.
Katanya, kesemua suspek itu berjaya diberkas susulan satu laporan polis yang dibuat oleh orang awam berhubung kecurian ekzos pada November tahun lalu.
“Bertindak atas laporan itu, satu pasukan khas telah menjejaki individu terlibat dan melalui petunjuk awal diperolehi kita berjaya menangkap tiga suspek termasuk dalang yang digelar ‘Adik’ berusia 33 tahun serta seorang wanita di Johor pada 5 Januari lalu.
“Susulan tangkapan itu, kita menangkap tiga lagi suspek pada hari sama di Merlimau, Jasin dan keesokannya seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah dicekup di Tanjung Kling, di sini,” katanya pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.
Tambah Afzanizar, seorang lelaki yang berperanan sebagai pembeli turut diberkas di Klang, Selangor, manakala tangkapan terakhir dibuat di Johor pada 13 Januari melibatkan dua suspek.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tangkapan kesemua 10 suspek lelaki dan seorang wanita itu berjaya menyelesaikan 11 kes yang dilaporkan sejak November tahun lalu.
“Modus operandi geng ini adalah mencuri ekzos dengan menyasarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria dan continental yang diletakkan di tempat sunyi sebelum menjualnya kepada pembeli pada harga antara RM1,000 sehingga RM2,000.
“Pembeli kemudian akan menjual tabung-tabung ekzos berkenaan ke negara luar yang mempunyai teknologi mengeluarkan serbuk emas putih yang bernilai tinggi,” katanya.
Ujarnya, hasil tangkapan itu juga, pihaknya telah merampas tabung-tabung ekzos curi bernilai keseluruhan RM30,000 dan dua buah kenderaan dipercayai digunakan bagi kegiatan tersebut.
Kesemua suspek kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kompenan kenderaan. – UTUSAN