11 guru SK Pergam hantar modul pembelajaran ke rumah murid Orang Asli - Utusan Malaysia

11 guru SK Pergam hantar modul pembelajaran ke rumah murid Orang Asli

MOHD. SHAFII A. Bakar (tengah) menghantar modul pembelajaran ke setiap rumah murid Orang Asli di Kampung Sungai Pergam di Kemaman, hari ini. UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seramai 11 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pergam di sini sanggup mengambil risiko digigit anjing bagi menghantar modul pembelajaran ke rumah 61 murid Orang Asli di Kampung Sungai Pergam.

Guru Besar SK Sungai Pergam, Mohd. Shafii A. Bakar berkata, inisiatif secara bergilir-gilir tersebut diambil bagi memastikan murid Orang Asli suku Semaq Beri itu tidak tercicir dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Katanya, hampir kesemua 120 rumah di perkampungan itu mempunyai anjing peliharaan bagi menjaga kediaman dan tanaman masing-masing.

“Pembelajaran secara dalam talian dilihat kurang berkesan untuk golongan sasar kerana rata-ratanya berdepan masalah ketiadaan gajet dan kemudahan internet.

“Walaupun murid-murid membuat latihan menggunakan kertas, tetapi guru-guru sentiasa memantau dan memberikan bimbingan menerusi aplikasi WhatsApp di samping turut berkomunikasi dengan ibu bapa murid,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan modul pembelajaran tersebut hari ini.

Mohd. Shafii berkata, pihaknya turut meletakkan modul pembelajaran mengikut subjek di pondok pengawal sekolah pada setiap hari Ahad bagi disiapkan pelajar sebelum dikembalikan untuk diperiksa guru.

Katanya, pelaksanaan pembelajaran secara tradisi disifatkan lebih mudah difahami murid dan rata-ratanya tidak mempunyai banyak kerenah di samping bersedia memberikan komitmen baik.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd. Joseph Rety, 40, berterima kasih kepada guru-guru yang sentiasa memberi bimbingan bagi memastikan anaknya tidak tercicir dalam pelajaran.

“Kadangkala liputan internet di kampung ini mengalami gangguan jadi saya bimbang kesa terhadap pembelajaran anak.

“Syukur apabila cikgu datang ke rumah membawa kerja sekolah anak-anak, cara ini memang bagus sebab kami sebagai ibu bapa tidak pandai untuk mengajar mereka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya