KANGAR: Polis mengeluarkan sebanyak 101 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) khususnya di tempat awam sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) minggu lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, antara kesalahan yang dilakukan termasuklah tidak memakai pelitup muka di tempat awam serta tidak mencatatkan nama atau mendaftar melalui aplikasi MySejahtera pada premis yang dimasuki.
Katanya, ada yang memberi alasan tidak memakai pelitup muka kerana tidak membawanya yang mana perkara itu sepatutnya tidak terjadi dalam situasi negara sedang berusaha memutuskan rangkaian Covid-19 ketika ini.
“Bagi memastikan pematuhan SOP ini terjaga, kami telah menubuhkan enam pasukan pematuhan SOP termasuk dua daripadanya Unit Kenderaan Peronda (MPV) yang akan membuat pemantauan di premis-premis termasuk gerai makan bagi memastikan orang mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Selain itu, kami juga ada lapan pasukan kompaun yang akan membuat pemeriksaan terhadap pematuhan SOP ini. Oleh itu, saya nasihatkan agar orang ramai untuk mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup separuh muka dan mendaftar MySejahtera.
“Ini kerana ramai yang dikenakan kompaun adalah mereka yang gagal mematuhi SOP ini terutamanya dalam pemakaian pelitup muka,” katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya (SJR) lampu isyarat Jejawi di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, terdapat dua SJR di bawah kawasannya iaitu di sempadan daerah di Jejawi dan sempadan negeri di SJR kilometer 17 di Sanglang.
Menurutnya, jumlah kenderaan yang lalu di sempadan negeri adalah kira-kira 700 hingga 800 buah setiap hari yang kebanyakannya pada waktu puncak iaitu sekitar pukul 7 hingga 8 pagi dan 5 hingga 6 petang.
“Buat masa ini, tidak ada masalah di SJR dan mereka yang merentas negeri atau daerah mempunyai surat sama ada dari polis, majikan, surat pengesahan kesihatan atau surat menghadiri pembelajaran.
“Pada waktu malam pula, lepas pukul 10 malam sudah tiada kenderaan yang lalu lalang di sini,” ujarnya.
Tambah beliau, terdapat tiga penggiliran bagi setiap SJR melibat enam anggota masing-masing dua dari polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta diketuai oleh seorang pegawai polis. -UTUSAN ONLINE