10,000 lagi pegawai banci diperlukan - Utusan Malaysia

10,000 lagi pegawai banci diperlukan

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 10,000 lagi pegawai banci diperlukan untuk pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) fasa kedua iaitu secara bersemuka kunjungan rumah ke rumah.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pada masa ini seramai 43,000 pegawai banci telah dilantik untuk pelaksanaan itu yang akan bermula pada 20 Januari hingga 6 Februari ini.

Menurut beliau, mana-mana individu yang berminat termasuk penjawat awam dengan kebenaran pengurusan tertinggi masing-masing boleh membuat permohonan dengan hadir di Jabatan Perangkaan Negeri atau menghubungi hotline 1-800-88-7720 seperti tertera di portal www.mycensus.gov.my .

Katanya, mereka akan dibayar elaun sebanyak RM1,600 dalam tempoh sebulan pelaksanaan itu untuk melakukan temu ramah penduduk secara bersemuka di seluruh negara melibatkan kira-kira 24.1 juta penduduk dengan 6.1 juta tempat kediaman.

“Setiap seorang pembanci perlu membuat bancian anggaran 100 buah rumah dalam tempoh sebulan itu.

“Untuk memastikan pegawai banci yang terlibat benar-benar berkeupayaan, mereka diberikan latihan selama empat hari dalam kumpulan kecil yang dibuat di kawasan daerah masing-masing selain latihan secara dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Mohd. Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata, orang ramai diminta memberikan kerjasama dengan pegawai banci ketika hadir berkunjung ke rumah demi memudahkan tugas untuk mengumpul data dan maklumat umum penduduk demi pembangunan negara.

Katanya, pembukaan kaunter dan kios di kawasan tempat tinggal bertingkat atau kawasan komuniti akan turut diwujudkan bagi memudahkan orang ramai jika ada yang bimbang kunjungan ke rumah ketika pandemik Covid-19.

Beliau berkata, mana-mana individu yang enggan bekerjasama boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17 Akta Banci 1960 iaitu boleh didenda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Kita tidak ingin susahkan atau memberi tekanan kepada orang ramai kerana kita bukan semata-mata mahu mengenakan penalti. Ini bancian kali ke-6 dilakukan di negara ini dan kita percaya orang ramai boleh memberikan kerjasama kerana data perlu diberikan secara baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya