10 juta penduduk respon Banci Malaysia 2020 - Utusan Malaysia

10 juta penduduk respon Banci Malaysia 2020

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 juta penduduk memberikan maklum balas berhubung Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia  2020), meliputi 30.4 peratus daripada keseluruhan populasi negara.

Ketua Perangkawan,  Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sehingga hari ini, sebanyak 3.3 juta tempat kediaman telah dibanci menggunakan platform banci dalam talian, e-Census yang dibuka semula bagi menyokong usaha kerajaan membendung penularan Covid-19. 

Beliau menjelaskan, dianggarkan seramai 22.7 juta penduduk atau  69.4 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk negara ini masih belum mengisi Banci  Malaysia 2020.

“Bagi memastikan semua penduduk Malaysia berpeluang untuk menjawab  Banci Malaysia 2020, platform e-Census dibuka semula. 

“Usaha ini juga adalah tanda sokongan kepada tindakan yang dilaksanakan kerajaan dalam membendung penularan Covid-19 dalam kalangan  penduduk Malaysia,” katanya dalam Facebook Live, hari ini.

Menurut beliau yang juga Pesuruhjaya Banci 2020, terdapat 320,000 isi rumah melibatkan 1.2 juta penduduk telah mendaftar di platform e-Census tetapi masih belum melengkapkan pengisian dalam talian itu sepenuhnya. 

Justeru, katanya, bagi mengurangkan kontak bersemuka, amatlah diharapkan  agar semua penduduk Malaysia dapat memberi kerjasama dengan mengisi segera maklumat banci secara dalam talian melalui www.mycensus.gov.my.

Berdasarkan respons sehingga kini, ujar beliau, empat negeri mencatatkan respons bilangan  penduduk tertinggi iaitu Putrajaya (90.9 peratus), Johor (48.2 peratus), Perlis (45 peratus) dan  Perak (43.5 peratus). 

Bagaimanapun, beliau memberitahu, negeri yang terendah pula ialah Sabah (8.9 peratus), Labuan (17.6 peratus) dan Sarawak (18.9 peratus). 

“Selebihnya ialah Melaka (38.9 peratus), Pulau Pinang (38 peratus),  Negeri Sembilan (35.2 peratus), Terengganu (32.5 peratus), Selangor (31.4 peratus), Kuala Lumpur  (28.4 peratus), Kelantan (27.3 peratus), Kedah (25.8 peratus) dan Pahang (24 peratus,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, daripada dapatan 10 juta penduduk Malaysia yang direkodkan itu, 50.1 peratus ialah  perempuan manakala 49.9 peratus lelaki. 

Bagi statistik warganegara, katanya, etnik bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak (67.1 peratus), diikuti etnik Cina (26 peratus), India (6.3 peratus) dan lain-lain (0.6 peratus), manakala bukan warganegara adalah sebanyak 2.3 peratus. 

“Statistik kumpulan umur pula menunjukkan 6.3 peratus adalah dalam kalangan penduduk berumur  65 tahun dan ke atas, 69.5 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan 24.3 peratus dalam kalangan umur muda (0 – 14 tahun).

“Semua penduduk diseru untuk menjayakan Banci Malaysia 2020 dalam memastikan tiada  yang ketinggalan demi masa depan negara dan kemakmuran bersama. Kejayaan negara  dan kesejahteraan hidup yang dinikmati pada hari ini adalah hasil penyaluran maklumat  penduduk daripada banci-banci terdahulu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN