PADANG BESAR : Tinggal bungkusan daun ketum di kebun kelapa sawit sebelum diseludup ke negara jiran.
Bagaimanapun, taktik tersebut berjaya dihidu oleh polis Padang Besar yang merampas sebanyak 1,325 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai kira-kira RM39,750 di Kampung Kubang Tiga di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang berada di lokasi tersebut bersama longgokan daun ketum itu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Saifudin Aslin Abbas berkata, hasil daripada risikan, pihaknya telah ke kebun kelapa sawit tersebut dan menemukan empat longgokan daun ketum.
Katanya, suspek yang berusia 31 tahun di lokasi tersebut turut ditangkap bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine. Pemeriksaan lanjut juga mendapati daun ketum tersebut adalah untuk diseludup ke negara jiran” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, semua barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, beliau memberitahu, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya. _UTUSAN ONLINE