Yadim bantah penganjuran  Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 - Utusan Malaysia

Yadim bantah penganjuran  Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah sekeras-kerasnya penganjuran Grand Final Gala Night  bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 yang akan diadakan pada 2 Januari depan di Kuala Lumpur. 

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan menegaskan, penganjuran program seperti itu pada asasnya memberi isyarat salah kepada rakyat seolah-olah kerajaan hari ini merestui program sebegini untuk disajikan kepada rakyat.

Sedangkan, kata beliau, umum mengetahui sikap kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat  serius dalam usaha membanteras segala aktiviti yang tidak menyumbang ke arah  pembinaan akhlak dan adab terpuji.  

“Tambahan pula dalam suasana menghadapi pandemik Covid-19, sebarang bentuk  perhimpunan yang tidak mendesak harus dielakkan kerana risiko penularan tetap ada walaupun pihak penganjur memberi jaminan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).  

“Inilah sikap yang diambil seluruh dunia termasuk penganjuran program-program  hedonistik seumpama ini seperti penganjuran Miss World 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Menurut Nasrudin, konsep penganjuran program seperti itu sebenarnya tidak pernah  dibenarkan mana-mana agama terutamanya Islam kerana lebih bersifat eksploitasi kepada wanita dan penyuburan kepada budaya hedonistik oleh tamadun-tamadun yang telah pupus sebelum ini. 

Jelas beliau, sekiranya ingin dijustifikasikan penganjuran berkenaan dengan penggalakkan aktiviti  ekonomi dan sosial, pandangan tersebut adalah terlalu dangkal.

Ini kerana katanya, kesan limpahan ekonomi daripada penganjuran seperti ini terlalu marginal sedangkan nilai murni sosial masyarakat di Malaysia yang sentiasa dibanggakan dengan unsur kesopanan dan  kesantunan akan semakin terhakis.  

“Berdasarkan faktor-faktor ini, Yadim menyeru agar langkah-langkah perlu diambil bagi memastikan program seumpama ini tidak dilaksanakan. 

“Keutamaan majoriti rakyat kini adalah usaha mempergiatkan semula ekonomi demi  kelangsungan hidup dan bukannya kepada penganjuran program yang sia-sia,” katanya.  

Dalam pada itu, beliau berkata, Yadim akan menghantar memo bantahan secara rasmi kepada penganjur  dan pihak berkuasa tempatan pada Isnin ini sebagai bukti komitmen badan dakwah itu menentang sebarang penganjuran program yang tidak bermanfaat.  -UTUSAN ONLINE

Katanya, YADIM pada masa sama meyakini bahawa majoriti rakyat tanpa mengira sempadan agama dan  bangsa tidak merestui program yang bukan sahaja tiada membawa manfaat  kepada rakyat, bahkan mengundang kemurkaan Allah SWT. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya