ISKANDAR PUTERI : Jawatan Penolong Ketua Kampung perlu diwujudkan dengan memberi peluang kepada belia dan wanita untuk menyandang jawatan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berkata, langkah tersebut menyerupai struktur organisasi yang sudah diguna pakai di kawasan Felda pada masa ini.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya mereka diberi elaun RM300 atau jumlah yang dirasakan sesuai diberikan bagi jawatan tersebut.
“Bagi mengangkat peranan orang muda di luar bandar, dicadangkan supaya jawatan penolong atau pembantu ketua kampung diwujudkan dan diberi elaun RM300.
“Saya percaya cadangan itu juga boleh diperluaskan kepada golongan wanita yang dapat membantu dalam hal ehwal wanita, mereka juga dicadangkan untuk diberi elaun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Johor 2021 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Rasman menambah, beliau yakin jika cadangan itu diterima Kerajaan Negeri Johor, ia sekali gus dapat mengiktiraf peranan belia dan wanita di kawasan luar bandar.
“Apabila masing-masing berperanan, maka kampung-kampung kita pun akan lebih ceria,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik peruntukan dan perhatian untuk belia di negeri ini yang diberikan pada Belanjawan Johor 2021 kerana golongan itu adalah pelapis masa depan negara.-UTUSAN ONLINE