Wira Hijau MBPP tanam 2020 batang pokok bakau  - Utusan Malaysia

Wira Hijau MBPP tanam 2020 batang pokok bakau 

WIRA Hijau Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjalankan gotong-royong bagi menanam 2,020 anak pokok bakau di kawasan persisiran pantai, Taman Nelayan, Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Sebagai simbolik kepada tahun 2020 yang bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi, Wira Hijau Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil inisiatif menanam anak-anak pokok bakau di kawasan persisiran pantai Taman Nelayan, Kuala Sungai Pinang, di sini semalam.

Menerusi program itu, seramai 150 Wira Hijau terdiri daripada kakitangan MBPP menanam sebanyak 2,020 batang anak pokok bakau di kawasan berkenaan sebagai penampan ombak serta memulihara ekosistem di kawasan tersebut.

Peserta, Aidil Bisman Adnan,40, berkata, dia tidak pernah menyertai program penananam anak pokok bakau sebelum ini di mana-mana kawasan di negeri ini.

“Sebelum ini, saya tidak berkesempatan kerana mempunyai tugas untuk mencantikkan landskap di kawasan lain di sekitar pusat bandar.

“Kali ini saya mengambil peluang untuk bersama-sama rakan lain bergotong-royong menanam pokok bakau kerana menyedari kepentingan pokok ini kepada alam sekitar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penanaman pokok bakau di Kuala Sungai Pinang, di sini semalam.

Program itu dirasmikan Datuk Bandar MBPP, Yew Tung Seang dan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Pulau Pinang, Tengku Mohd. Ridzuan Tengku Ibrahim.

Seorang lagi peserta, Nazri Zainul Abidin, 35, berkata, dia pernah menyertai program penanaman bakau di Langkawi tahun lalu dan mengambil peluang kali ini untuk menanam bakau di kampung halamannya.

“Saya juga mahu mengambil peluang untuk menutup tahun 2020 dengan sesuatu yang bermakna dan menggembirakan.

“Ini kerana sepanjang tahun ini kita diuji dengan kisah-kisah Covid-19, jadi apa salahnya kita tutup tahun 2020 dengan sesuatu yang positif,” katanya.

Dalam pada itu, Tung Seang berkata, setakat ini hampir 35,000 pokok bakau ditanam di negeri ini sejak lima tahun lalu.

“MBPP menyasarkan menanam 100,000 pokok bakau menjelang 2030 bagi memelihara ekosistem dan menjadi penampan bagi kawasan pesisiran pantai.

“Inisiatif hijau ini akan diteruskan sepanjang masa dan tahun depan kita sasar untuk tanam sebanyak 2021 pokok bakau pula,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya