Warganet bantu biaya rawatan 'Abang Long' - Utusan Malaysia

Warganet bantu biaya rawatan ‘Abang Long’

SYAHIRAN Aidil Aiman Kamarul Zaman bersama Abang Long yang diselamatkannya di dalam longkang ketika ditemui di rumahnya di Taman Tuanku Jaafar, Seremban hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemuda tidak menyangka, tindakannya memuat naik video dan gambar di Twitter mengenai seekor kucing jantan yang diselamatkannya dari sebatang longkang berjaya membantu memulihkan kecederaan parah yang dialami kucing berkenaan baru-baru ini.

Syahiran Aidil Aiman Kamarul Zaman, 20, dari Taman Tuanku Jaafar, dekat sini terkejut kerana perkongsiannya itu mendapat maklum balas warganet sehinggakan kos pembedahan dan pemulihan kucing tersebut yang diberi nama Abang Long hampir mencecah RM2,000 berjaya diselesaikan.

Menurut Syahiran, kejadian berlaku pada 27 November lalu ketika dia sedang bekerja membantu bapanya di bengkel di Bandar Seremban Selatan dekat sini sebelum terdengar bunyi seekor kucing.

“Kemudian baru saya nampak seekor kucing di dalam longkang, terbaring, tidak boleh bangun dan bergerak. Pada waktu itu saya memang sudah merakam kejadian berkenaan dan saya kongsikan di Twitter. Saya kemudian angkat kucing itu masuk ke dalam bengkel dan bawa ke klinik haiwan.

“Doktor memberitahu banyak bahagian belakang kucing ini yang patah dan kos pembedahannya agak tinggi melebihi RM1,000 dan saya tidak mampu. Saya kemudian maklumkan perkara itu dalam Twitter.

“Saya benar-benar tidak sangka, perkongsian saya itu tular dan ramai yang mahu membantu memberikan sumbangan dan kos keseluruhan rawatan pemulihan dapat diperoleh tidak sampai satu hari,” jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Syahiran lagi, dia memang tidak menyangka ramai yang prihatin dan sudi membantu dirinya dan kucing yang diberi nama Abang Long itu.

“Ada seorang wanita telah memberikan sumbangan sehingga RM500 malah dia juga sanggup untuk membiaya kos-kos rawatan lain namun saya memberitahu dana telah mencukupi hasil sumbangan individu-individu lain, saya tak sangka ramai betul yang prihatin.

“Pada awalnya saya jangka Abang Long tak boleh lagi diselamatkan namun tak sangka juga hayatnya masih panjang. Saya rasa dia dilanggar kenderaan semasa cuba melintas jalan. Keadaannya semakin pulih selepas tinggal dan mendapat rawatan selama sembilan hari di klinik haiwan. Saya akan menjaganya bersama empat ekor kucing yang lain,” katanya.

Sementara itu, ditanya kenapa kucing berkenaan diberikan nama Abang Long, Syahiran memberitahu nama tersebut diberikan oleh seorang doktor di klinik haiwan.

“Semasa pendaftaran di klinik tersebut, doktor verterinar di situ tanya, apakah nama kucing ini? Saya tak tahu nak letak apa, kemudian doktor itu memberi cadangan supaya diberikan nama Abang Long kerana ia dijumpai di dalam longkang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya