Warga emas simpan 109 tong LPG tanpa lesen bakal didenda RM1 juta - Utusan Malaysia

Warga emas simpan 109 tong LPG tanpa lesen bakal didenda RM1 juta

RIZQ Fazliana Abd. Hamid (kiri) menunjukkan tong gas yang disita hasil serbuan di kawasan perumahan di Sungai Abong, Muar, Johor semalam. - FOTO/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang warga emas bakal berdepan hukuman denda RM1 juta selepas didapati menyimpan 109 tong gas petroleum cecair (LPG) di kediamannya yang dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cawangan Muar di Sungai Abong di sini semalam.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Muar, Rizq Fazliana Abd. Hamid berkata, pihaknya menemukan 109 tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14 kilogram (KG) termasuk 68 tong gas kosong dan kemudian dirampas dengan keseluruhan nilai berjumlah RM6,300 yang disimpan lelaki berusia 60 tahun itu.

“Hasil serbuan mendapati rumah lelaki itu dijadikan stor tempat menyimpan tong gas LPG yang dikategorikan sebagai barang kawalan dan disimpan ditempat yang tidak dilesenkan sebelum dijual kepada pengguna.

“Selain tong gas, kami turut merampas sebuah lori 10 tan bernilai RM20,000. Lelaki tempatan itu turut ditahan bagi diambil keterangan dan siasatan lanjut setakat ini percaya bahawa dia mempunyai kaitan dengan kes berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Muar di sini hari ini.

Menurut beliau, maklumat awal mendapati aktiviti terbabit sudah dilakukan sejak tempoh beberapa bulan yang lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan atau penyimpanan tong gas berisi LPG tanpa lesen diminta menyalurkan maklumat kepada pihak kami dengan segera kerana ia melibatkan keselamatan dan kepentingan orang ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya