Warga emas maut, kereta dilanggar lori  - Utusan Malaysia

Warga emas maut, kereta dilanggar lori 

KENDERAAN mangsa yang remuk selepas terlibat dengan sebuah lori lima tan dalam kejadian di Jalan Tampin-Gemas berhampiran Kampung Bukit Geduk, Tampin, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Warga emas meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 28, Jalan Tampin-Gemas, Geduk, dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab berkata, dalam kejadian pukul 6.05 petang itu, mangsa, Misnan Mohamed, 66, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah pada pukul 10.51 malam.

Menurutnya, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu lori jenis Daihatsu dan Proton Saga Iswara Aeroback yang dipandu mangsa.

“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua kenderaan dari arah yang sama iaitu Gemencheh ke Gemas. Apabila sampai di lokasi kejadian lori yang berada di belakang kereta telah mengelak ke kanan jalan susulan kereta berkenaan tiba tiba membuat pusingan ‘U’ dan terus melanggar kereta tersebut.

“Akibat perlanggaran berkenaan menyebabkan mangsa yang merupakan seorang peneroka Felda mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di zon merah HTAN dan meninggal dunia di hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuwal berkata, isteri mangsa berumur 64 tahun yang menaiki kenderaan sama menerima rawatan pesakit luar di hospital yang sama kerana luka di bahagian kanan kepala.

Menurutnya, bedas siasat dijalankan pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad, sebaik tiba di lokasi pada pukul 6.16 petang, terdapat kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki pasangan suami isteri dan juga sebuah lori lima tan tanpa muatan.

“Terdapat seorang warga emas lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu. Kami mengambil masa kira-kira 10 minit bagi membawa mangsa keluar dari kenderaan yang remuk berkenaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya