JOHOR BAHRU : Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) mengambil pendekatan turun padang untuk membantu 70 gelandangan dalam program Jalinan Ukhuwah-Sahabat Jalanan di sekitar bandar raya ini semalam.
Pengurus Besar Waqaf An-Nur, Mohd. Bahrin Bakri berkata, golongan gelandangan bukan sahaja dibekalkan dengan pek makanan malah mereka dibekalkan dengan pelitup muka serta turut diadakan program street dakwah.
Katanya, kelainan itu ditampilkan pada program tersebut yang mendapat penglibatan Pasukan Briged Waqaf yang bermula pada pukul 11 malam sehingga 1 pagi.
“Dalam situasi semasa melawan penularan Covid-19, Waqaf An-Nur merasakan golongan ini bukan hanya perlu bantuan bekalan makanan tetapi pelitup muka agar mereka tidak terdedah dengan jangkitan virus itu.
“Golongan itu turut diberikan perkongsian ilmu yang lebih santai dan ringkas agar merasa lebih dekat dengan masyarakat dan tidak berasa terasing terutamanya keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, antara pengisian program tersebut mereka diberikan pengetahuan agama Islam oleh Eksekutif Agama Waqaf An-Nur yang merupakan Imam dan Bilal dari rangkaian Masjid An-Nur.
“Atas sebab itu, program tersebut diberikan nama Jalinan Ukhuwah Sahabat Jalanan. Program ini dijangka diadakan sepanjang tahun yang akan disertai anggota pekerja Kumpulan Johor Corporation (JCorp).
“Mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat yang ingin bekerjasama dalam program ini amat dialu-alukan,” katanya.
Mereka yang berminat untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program tersebut boleh menyumbang ke akaun Bank Rakyat Masjid An-Nur Kotaraya yang bernombor 1100115286. -UTUSAN ONLINE