JOHOR BAHRU: Tabung Wakaf Air Nasional merupakan antara usaha kerajaan membekalkan air bersih terawat kepada rakyat terutamanya di luar bandar dan ketika berlaku krisis air.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, konsep itu adalah juga untuk memberi peluang kepada masyarakat awam untuk sama menyumbang di dalam pengurusan infrastruktur bekalan air.
Katanya, ciri utama konsep itu ialah menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai daripada individu atau syarikat dengan niat mewakafkan air.
“Ia juga membabitkan mengurus sumbangan dana berdasarkan ruang lingkup yang ditetapkan dan pembiayaan pelaksanaan infrastruktur bekalan air berskala kecil tidak lebih daripada RM50,000.
“Usaha ini merangkumi penggalian perigi, pembelian peralatan pam, penyediaan mini empangan dan tangki-tangki simpanan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air walaupun pada musim kemarau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Waqf Advancement Webinar 2020 secara maya anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berharap masyarakat awam dapat menerima baik konsep Tabung Wakaf Air Nasional yang dilihat dapat mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan dengan pembabitan pelbagai pemegang taruh.
Bagi menjayakan projek itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Yayasan Wakaf Malaysia bagi menyediakan model tadbir urus yang efektif dan berkesan serta mematuhi prosedur kewangan sedia ada.
Katanya, jika rakyat Malaysia bersama-sama menyahut seruan ini dengan hanya RM10 sahaja, maka, usaha berkenaan bakal memperolehi dana yang besar.
“Bayangkan jika penjawat awam seramai 1.6 juta membuat potongan gaji secara tetap setiap bulan sebanyak RM10, maka kita akan dapat mengumpul dana wakaf sebanyak RM16 juta sebulan.
“Dalam masa setahun sebanyak RM192 juta dana wakaf dapat dikumpulkan. Dalam masa lima tahun jumlah kumulatif dana wakaf akan mencapai RM960 juta.
“Ia bukan sesuatu yang mustahil untuk diperoleh dan ia tidaklah memberatkan kerana hanya dengan memberikan sumbangan sekecil RM10 sahaja sebulan,” katanya. -UTUSAN ONLINE