PUTRAJAYA: Belum ada mana-mana vaksin untuk Coivd-19 yang terbukti keberkesanannya setakat ini walaupun sudah ada negara yang memulakan program vaksinisasi untuk rakyat mereka.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia adalah antara negara yang terus memantau keberkesanan vaksin Covid-19 bagi memastikan ia selamat dan boleh didaftarkan di negara ini.
Justeru, kata beliau, tuduhan yang mengatakan vaksin yang dihasilkan China sebagai berbahaya adalah tidak benar kerana negara terbabit sudah mengeluarkan banyak vaksin untuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Contohnya, vaksin influenza, vaksin polio dan vaksin hepatitis A. Mereka (China) ada pengalaman untuk membuat vaksin cuma kali ini berbeza kerana ia vaksin baharu maka ia perlu ada kajian fasa klinik, fasa pertama, fasa kedua dan seterusnya
“Setakat ini ada 12 vaksin yang dikaji di peringkat fasa klinikal dan beberapa fasa lagi.. kita masih memantau vaksin tersebut dan masih menunggu kalau ada permohonan kepada kementerian,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penyebaran sebuah akhbar percuma yang mendakwa vaksin dari China tidak selamat untuk digunakan.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, jika ada permohonan yang dihantar, maka pihak kementerian akan melihat keberkesananya dan kesan sampingan.
“Kita akan mengkaji bagi melihat keberkesanannya kepada rakyat negara ini kerana ia ada perbezaan dengan rakyat negara lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE