USM terpilih terajui Kursi UNESCO - Utusan Malaysia

USM terpilih terajui Kursi UNESCO

Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Prof. Dr. Nor Azazi Zakaria.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) melakar kejayaan selepas terpilih sebagai universiti pertama di negara ini yang menerajui Kursi Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kursi UNESCO itu berkaitan dengan ‘Ecohydraulics for Sustainable Water Infrastructures for SDG 6 in the Asia and the Pacific Region’ . 

Kursi UNESCO pertama di USM dan di negara ini akan berpusat di Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar USM (REDAC) di Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal, dekat sini, bagi tempoh empat tahun.

Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Prof. Dr. Nor Azazi Zakaria berkata, dengan pemilihan itu, USM akan mengorak langkah sebagai hab pendidikan dan penyelidikan antarabangsa berkaitan infrastruktur air secara lestari.  

“USM secara keseluruhannya akan memberi tumpuan terhadap keadaan di rantau Asia Pasifik dalam menangani isu berkaitan serta memenuhi keperluan air bersih yang akan memberi impak kepada lebih 663 juta penduduk. 

“SDG6 merujuk kepada ‘Sustainable Development Goal #6’, digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015 yang menekankan isu berkaitan air bersih dan sanitasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pemilihan bagi Kursi itu dibuat hasil kertas cadangan yang diserahkan dan seterusnya mendapat penilaian positif daripada Jawatankuasa Pemilihan. 

“Pemilihan ini membawa banyak manfaat kepada USM dan negara apabila USM dipilih sebagai hos bagi kursi antarabangsa yang berprestij. 

“Sudah pasti ini akan meningkatkan lagi usaha kolaborasi antarabangsa secara agresif berkaitan jaminan atau sekuriti air serta kelestarian infrastruktur air di peringkat nasional juga global,” katanya.

Tambahnya, Malaysia dianggap sebagai sebuah negara yang melaksanakan usaha pengurusan air secara berkesan dengan 92 peratus rakyat menerima khidmat sumber air yang selamat dan 82 peratus menerima khidmat sanitasi yang baik.

Namun, tambah beliau, negara ini masih terdedah kepada risiko sekiranya sumber penting itu tidak diurus sebaik mungkin.

“Air adalah keperluan asas manusia dan merupakan elemen yang sangat penting, namun masih ramai terpinggir daripada menikmati bekalan air bersih dan sanitasi.

“Dengan menerajui kursi ini, kami berharap dapat mengatasi halangan berkenaan demi memastikan penyaluran bekalan air yang lebih meluas serta tiada pihak akan ketinggalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya