BACHOK: Kerajaan sedang berusaha meningkatkan pengeluaran hasil nanas jenis MD2, madu kaca dan cobek di Kelantan dengan cara menebus guna tanah terbiar di seluruh negeri ini menggunakan teknologi terkini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta sepanjang tahun ini bagi tujuan tersebut.
Langkah itu kata beliau, diharap dapat memberi manfaat kepada para pekebun nanas yang kebanyakannya tertumpu di Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang dan Jeli.
“Projek tanaman nanas MD2, pengukuhan tanaman nanas varieti selain MD2 serta projek integrasi nanas bersama tanaman lain yang dilaksanakan menggunakan peruntukan ini berjaya melahirkan 103 pekebun produktif.
“Selain jualan buah segar, kita turut menggalakkan pelbagai industri hiliran yang berkaitan penanaman nanas ini bagi menambah pendapatan para pekebun,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat Projek Usahasama Penanaman Nanas Cobek oleh Koperasi Kolej Vokasional Bachok Berhad bersama Kota Eze Sdn. Bhd., di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kota Eze Sdn. Bhd., Datuk Zulkifli Abdullah dan Pengarah Kolej Vokasional Bachok, Wan Aftanorman Wan Aftuluddin.
Koperasi Kolej Vokasional Bachok Berhad menyediakan kawasan seluas 9.12 hektar, melibatkan tanah terbiar yang telah ditebus guna bagi menjayakan projek itu.
Setakat ini, 1.6 hektar daripada kawasan itu telah ditanam dengan 30,000 pokok nanas cobek dan 17,000 pokok nanas MD2
Mengulas lanjut mengenai pembangunan nanas, Che Abdullah berkata, setakat ini, tanaman itu diusahakan di kawasan seluas 16,000 hektar di seluruh negara dengan nilai pengeluaran sebanyak RM500 juta setahun.
Katanya, penanaman nanas di Kelantan pula setakat ini melibatkan kawasan seluas 300 hektar dengan pulangan hasil sebanyak RM7 juta setahun.
“Kedudukan negara di peringkat dunia juga masih jauh iaitu yang ke-23. Usaha gigih perlu dilakukan untuk melonjakkan lagi pengeluaran nanas negara,” ujarnya. – UTUSAN