KEMAMAN: Penduduk terjejas banjir di daerah ini diminta mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah dan usah memberi pelbagai alasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kertih, Khairul Hasni Mokhtar berkata, sikap mementingkan diri dan kedegilan penduduk boleh mengundang padah jika berlaku kejadian tidak diingini.
“Situasi ini terpaksa kami hadapi saban tahun apabila ada segelintir penduduk yang enggan berpindah dengan alasan telah terbiasa.
“Kita risau banjir menjadi lebih buruk pada waktu malam dan operasi pemindahan yang dilakukan pada waktu itu lebih berisiko kerana keadaan yang gelap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini
Khairul Hasni berkata, pada pukul 10 malam semalam pihaknya terpaksa mengambil masa hampir sejam bagi memujuk sebuah keluarga di Kampung Lubuk Kawah di Kemasik untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kemasik.
“Kejadian membabitkan sebuah keluarga dengan tiga anak termasuk seorang bayi dan kami terpaksa mengambil pendekatan memujuk mereka berpindah kerana keadaan air yang hampir memasuki rumah.
“Mereka memberi alasan sudah terbiasa dengan situasi itu tetapi selepas dipujuk dengan berhemah akhirnya mereka beralah untuk berpindah ke PPS terdekat dengan menggunakan lori,” katanya. -UTUSAN ONLINE