Unit Komunikasi OKU diwujudkan - Utusan Malaysia

Unit Komunikasi OKU diwujudkan

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah Unit Komunikasi Orang Kurang Upaya (OKU) ditubuhkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebagai usaha kerajaan meningkatkan fasiliti komunikasi dua hala.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia diwujudkan bersempena dengan sambutan Hari OKU Sedunia hari ini dan menghargai mereka sebagai ‘keluarga besar’ negara kita.

“Ia diketuai seorang dari kalangan OKU dan saya juga melantik penterjemah bahasa isyarat, Mohamad Nazrul Azwa Zulkipply sebagai Pegawai Tugas Khas,” katanya melalui kenyataan.

Menurut beliau lagi, pegawai tersebut berperanan bagi memudahcara dan melancarkan lagi usaha komunikasi secara berterusan antara dirinya dengan masyarakat khasnya OKU sendiri.

Dengan penubuhan unit itu dan pelantikan berkenaan, Saifuddin yakin kerajaan melalui pihak kementerian tersebut dapat terus memperkasakan komunikasi dengan setiap lapisan rakyat.

“Kami di kementerian turut berusaha melaksanakan kaedah komunikasi lebih mesra OKU dalam penyampaian maklumat seperti bahasa isyarat, sari kata dan suara latar,” jelasnya.

Beliau berharap usaha itu membolehkan pengaliran maklum balas khususnya warga OKU tempatan diperkasakan dengan meningkatkan penglibatan mereka dalam proses tersebut.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga 31 Oktober lalu, jumlah OKU berdaftar melalui sistem maklumat nasional adalah 581,265 orang di seluruh negara.

“Namun angka ini masih rendah berbanding lapiran Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang anggar 15 peratus daripada rakyat sesebuah negara terdiri daripada OKU,” kata Saifuddin.

Kerajaan ujarnya, sentiasa berpegang kepada prinsip inklusiviti dengan memastikan tiada sesiapa terpinggir malah OKU berperanan beri sumbangan kepada pembangunan negara. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya