UMNO perlu terajui gagasan- Noh - Utusan Malaysia

UMNO perlu terajui gagasan- Noh

Noh Omar (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada ibu tunggal di Pejabat MCA Pasir Penambang, Kuala Selangor, Selangor, hari ini. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: UMNO sebagai parti paling besar perlu menerajui gagasan yang mungkin ditubuhkan antara tiga gabungan utama politik di negara ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau menyambut baik cadangan gagasan antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.

“Jika benar penubuhannya, Presiden daripada parti paling ramai ahlinya iaitu UMNO perlu mengetuai gagasan tersebut.

“Bagi saya, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) boleh terus mentadbir kerajaan sedia ada manakala gagasan itu diterajui Presiden yang dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan Covid-19 kepada 250 ibu tunggal di Pejabat MCA Pasir Penambang, di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan satu gagasan ditubuhkan antara PN, BN dan GPS.

Menurut Hamzah, jika termeterainya piagam itu, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh.

Malah katanya, gagasan itu akan mencerminkan keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat pada masa depan.

Dalam pada itu, Noh berkata, pentadbiran kerajaan dan politik perlu diasingkan kerana situasi kini dilihat sudah berbeza berbanding sebelumnya.

“Kerajaan hari ini dibentuk bukannya berdasarkan prinsip parti tetapi atas kerjasama Ahli-ahli Parlimen.

“Oleh demikian, saya beranggapan bahawa kerajaan dan parti adalah dua perkara berbeza ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang meminta semua Ketua Cawangan dan Bahagian UMNO di negeri ini kerap turun padang menyantuni rakyat termasuk kaum Cina.
“Saya selama ini sememangnya tidak pernah membezakan sesiapa dalam menyalurkan bantuan tanpa mengira parti politik.

“Perkara paling penting adalah kita sentiasa bersama menjaga kebajikan masyarakat dan biar mereka menilainya kelak,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya