KUALA KANGSAR: UMNO akan memperbaiki hubungan di antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) selepas kemelut politik negeri ini berakhir.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, apa jua kelemahan hubungan di antara UMNO, Bersatu dan Pas, akan diperbaiki.
“Apabila ketiga-tiga pimpinan tertinggi telah menandatangani persetujuan untuk mengadakan kerjasama UMNO, Pas dan Bersatu bermakna kita telah pun bersiap sedia untuk menyatukan hati-hati pemimpin dalam ketiga-tiga parti.
“Selepas apa yang berlaku, sudah tentu selepas ini kita akan berusaha mengubat luka jika ada. Insya-Allah kita akan perbaiki apa-apa kelemahan dalam hubungan di antara ketiga parti ini,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.
Mengenai pelantikan beliau sebagai menteri besar, Saarani berkata, itu merupakan satu amanah yang harus dipikul.
“Saya bersyukur kepada Allah, pada masa sama saya menginsafi ini satu amanah yang perlu dipikul. Ini bukan satu perkara yang boleh dibanggakan atau menjadikan kita sangat gembira kerana di hadapan saya ada banyak perkara yang perlu saya tanggung.
“Jadi keinsafan itu menyebabkan saya perlu cuba sedaya upaya untuk melunaskan tanggungjawab itu,” katanya.
Saarani, 59, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Saarani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang gagal meraih sokongan majoriti daripada ahli DUN Perak dalam undi percaya terhadap beliau pada Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE