Umat Islam disaran terima vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Umat Islam disaran terima vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Umat Islam di negeri ini disaran menerima vaksin Covid-19 yang diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai kaedah rawatan paling berkesan untuk menyelamatkan nyawa akibat penularan virus tersebut.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang berkata, kandungan vaksin itu juga  difahamkan halal kerana dihasilkan bukan daripada sumber gelatin binatang sebaliknya ia adalah daripada unsur-unsur lain.

“Penggunaan vaksin itu tidak menjadi kesalahan, malah Islam menitik beratkan soal penjagaan diri dan nyawa,” katanya selepas majlis pelancaran Pelan Strategik Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) 2021-2025 dan Penyerahan Pengiktirafan ISO di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Syaikh Mahmood Naim yang juga Pengerusi LZNK.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Malaysia meletakkan sasaran 70 peratus daripada keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok di bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan bagi penyakit Covid-19 pada 2021.

Katanya, sehingga kini, Malaysia telah menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan menerima bekalan vaksin sebanyak 30 peratus daripada jumlah populasi negara.

Syeikh Fadhil menambah, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas bersama mufti-mufti baru-baru ini juga telah mendengar penjelasan daripada wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai kandungan vaksin Covid-19.

Jelasnya, pegawai KKM juga mengesahkan kandungan vaksin tersebut bukan daripada sumber gelatin binatang.

“Mereka nyatakan keyakinan vaksin Covid-19 adalah halal daripada unsur-unsur lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN