PASIR PUTEH: Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjaya menangkap seekor ular senduk yang sedang ‘mengeram’ telur ayam dalam sebuah reban di Kampung Kuala Semerak, di sini, hari ini.
Pegawai APM daerah, Kapten (PA) Nik Mohd. Nor Nik Mat berkata, reptilia berbisa sepanjang satu meter dengan berat 500 gram itu ditemui dalam keadaan berlingkar di atas beberapa biji telur ayam.
Menurutnya, kehadiran ular tersebut disedari pemilik reban, Khairul Azreen Ismail, 28, ketika dia mahu mengutip telur ayam terbabit kira-kira pukul 7.45 pagi ini.
“Difahamkan, rutin harian Khairul Azreen pada setiap pagi adalah mengutip telur ayam kampung yang dipeliharanya di dalam reban yang ditutup dengan sangkar plastik.
“Kira-kira pada pukul 7. 45 pagi semasa membuka penutup sangkar, dia terkejut melihat seekor ular senduk yang tumpang berteduh di situ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Mohd. Nor berkata, pemuda itu mengambil tindakan yang betul mendapatkan bantuan anggota yang mahir menangkap ular dan tidak mengambil tindakan sendiri.
“APM Pasir Puteh tiba di lokasi pada pukul 8.25 pagi dan mengambil masa 10 minit untuk menangkap ular berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai perlu berhati-hati sepanjang musim banjir kerana reptilia tersebut sedang mencari tempat perlindungan selepas habitat asalnya dinaiki air.
“Di APM Pasir Puteh terdapat 27 anggota yang terlatih dan bertauliah menangkap ular dan sentiasa bersedia memberi perkhidmatan kepada orang ramai.
“Tahun ini APM sudah berjaya menangkap lebih 600 ekor ular termasuk ular sawa yang menceroboh reban ternakan dan ular senduk dalam kediaman,” katanya. -UTUSAN ONLINE