Ular sawa kenyang telan kambing 65 kilogram - Utusan Malaysia

Ular sawa kenyang telan kambing 65 kilogram

ANGGOTA APM Unit Masjid Tanah berjaya menangkap ular sawa yang telah menelan seekor kambing seberat 65 kilogram di Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Penternak kambing terkejut apabila mendapati kambing yang dijadikan baka ternakan seberat 65 kilogram ditelan ular sawa sepanjang enam meter di Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru, dekat sini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Ali Saad, 60, yang dibantu anak saudaranya, Azmi Zakaria, 39, menemukan reptilia tersebut dalam keadaan kekenyangan dan melingkar berhampiran pagar kandang ternakannya. 

Menurut Ali, ketika kejadian kedua-dua mereka sedang menghalau kambing dari kandang ke ladang kelapa sawit sebelum ternampak seekor ular sawa dengan keadaan perut membesar seperti telah menelan seekor haiwan ternakan miliknya. 

“Ketika kejadian kami sangat terkejut dan percaya kambing jantan besar seberat 65 kilogram yang dijadikan sebagai baka bagi membiak ternakan telah ditelan ular sawa tersebut.

“Kami menemukan ular itu dalam keadaan melingkar berhampiran pagar dan perutnya membesar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Tambah Ali, teka-tekinya sebelum ini mengenai kehilangan lima ekor kambing bersaiz sederhana sejak awal tahun lalu turut terjawab apabila dipercayai ia turut ditelan ular sawa berkenaan. 

“Bagaimanapun saya sangat bersyukur kerana ular yang selama ini dipercayai telah menelan kambing-kambing saya akhirnya dapat ditangkap dengan bantuan pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya. 

Sementara itu, Ketua Unit APM Masjid Tanah, Leftenan Shahrul Riza Saiful Bahri berkata, empat anggota APM yang diketuai Lans Koperal Rozianti Yaakob tiba di lokasi kejadian pada pukul 10.56 pagi.

Beliau berkata, usaha menangkap ular berkenaan terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit ekoran reptilia itu menjadi agresif dan mencuba melarikan diri ke ladang kelapa sawit.

“Pasukan APM terpaksa berhempas-pulas menangkapnya ditambah pula dengan saiznya yang besar dan seberat lebih 130 kilogram. 

“Ular tersebut akan diserahkan kepada Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka di Ayer Keroh selepas dibenarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya