UiTM Cawangan Pahang laksana penganugerahan diploma, ijazah secara janji temu - Utusan Malaysia

UiTM Cawangan Pahang laksana penganugerahan diploma, ijazah secara janji temu

MOHD. Ilham Adenan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norsyazwana Mohd. Ramly selepas majlis penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu di UiTM Pahang di Jengka, Maran hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kampus Jengka mencatatkan sejarah dalam sistem pendidikan institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan apabila melaksanakan Majlis Penganugerahan Diploma dan Ijazah secara janji temu selama tiga hari, berakhir esok.

Rektor UiTM Cawangan Pahang, Profesor Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, majlis dalam suasana norma baharu itu bagi menggantikan Majlis Istiadat Konvokesyen yang terpaksa ditangguhkan disebabkan penularan wabak Covid-19.

Katanya, seramai 270 graduan berpeluang menerima diploma dan ijazah masing-masing secara maya di Dewan Indera Segara yang turut dihadiri waris menyaksikan hari bersejarah itu.

Menurutnya, ia membabitkan seramai 165 graduan diploma, 94 (ijazah sarjana muda), dua (profesional), lapan (sarjana) dan seorang graduan menerima doktor falsafah (PhD).

“Majlis ini diadakan bertujuan meraikan kejayaan para graduan yang telah menamatkan proses pengajian mereka di peringkat Ijazah dan diploma. Majlis berlangsung selama tiga hari bermula Selasa.

“Graduan ini terdiri daripada penuntut UiTM yang telah menamatkan pengajian mereka di kampus UiTM seluruh negara dan bermastautin di negeri Pahang sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penganugerahan diploma dan ijazah UiTM Cawangan Pahang 2020 di Dewan Indera Segara di sini hari ini.

Mohd. Ilham berkata, UiTM Pahang mengambil inisiatif melaksanakan Majlis Penganugerahan secara janji temu untuk meraikan kejayaan para penuntut UiTM yang telah berjaya menamatkan pengajian.

Tambah beliau, proses pelaksanaan penganugerahan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dipantau pihak berwajib. 

“Kejayaan UiTM Cawangan Pahang menjadi model kepada UiTM Cawangan lain di seluruh negara dalam zon hijau untuk melaksanakan majlis serupa di kampus masing-masing,” katanya. 

Menerusi majlis itu, graduan berpeluang memakai jubah konvokesyen, merakam gambar kenangan bersama keluarga serta menerima skrol dan transkrip sebagai mana istiadat sebenar. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN