Ubat tradisional untuk gemuk dirampas - Utusan Malaysia

Ubat tradisional untuk gemuk dirampas

ANTARA produk ubat-ubatan tradisional Cina yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis berjaya membongkar sindiket memproses produk ubat-ubatan tradisional haram bernilai RM14 juta dipercayai untuk membantu menaikkan berat badan selepas menyerbu dua buah premis selain adik beradik di Bukit Mertajam dekat sini Khamis lalu.

Operasi khas dengan kerjasama pihak Kementerian Kesihatan (KKM) itu dijalankan selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menyerbu sebuah kilang di Taman Perindustrian Macang Indah, dekat sini kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, operasi itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat dipercayai berkaitan aktiviti sindiket memproses dadah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut sebaliknya mendapati kilang tersebut menjalankan aktiviti memproses ubat-ubatan tradisional Cina yang mencurigakan.

“Kita kemudiannya mendapatkan kerjasama pihak KKM untuk membantu menjalankan siasatan lanjut berhubung status ubat termasuk operasi kilang berkenaan.

“Hasil pemeriksaan pihak terbabit mendapati kilang yang beroperasi tanpa lesen itu menjalankan aktiviti memproses dan menjual produk ubat-ubatan tradisional Cina secara tidak berdaftar di pasaran negara ini dan luar negara sejak awal tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan Penguat Kuasa Farmasi negeri, Arnie Fadzilah.

Menurut beliau, serbuan pertama membawa kepada tangkapan seorang penyewa premis berusia 50 tahun bersama pasangan suami isteri yang juga pekerja berusia 44 dan 48 tahun serta rampasan 22 barang termasuk bahan-bahan memproses ubat.

Katanya, serbuan tersebut membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki yang juga abang kepada suspek utama di sebuah premis yang dijadikan setor simpanan dan jualan produk itu di Taman Kencana setengah jam kemudian.

“Hasil pemeriksaan menemukan 156,777 botol pelbagai jenama berisi pil dan kapsul ubat-ubatan tradisional tidak berdaftar bernilai RM12 juta.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam dua serbuan itu adalah sebanyak RM14 juta,” ujarnya.

Jelasnya, siasatan lanjut mendapati dua beradik lelaki tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah namun keempat-empat suspek bagaimanapun dibebaskan selepas selesai memberi keterangan.

Tambah beliau, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 30(1) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Seksyen 12(1) Akta jualan Dadah 1952.

Sementara itu, Arnie berkata, siasatan pihaknya mendapati ubat-ubatan tradisional Cina yang tidak berdaftar itu mengandungi bahan steroid.

“Lokasi kilang berkenaan juga agak tersorok dan fungsi pengambilan ubat-ubatan tersebut membantu menambahkan berat badan selain mempunyai kesan sampingan seperti kerosakan buah pinggang, badan menjadi gemuk dan wajah bulat.

“Produk ini juga berada di pasaran tempatan seperti di kedai ubat Cina dan dipercayai dipasarkan ke luar negara iaitu di Vietnam termasuk dijual dalam pasaran e-dagang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya