KUALA TERENGGANU: Negara masih lagi tidak membuka sempadan secara sepenuhnya dalam usaha mengekang penularan pandemik itu atau sebarang virus lain yang mengancam rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sempadan negara belum dibuka sepenuhnya kerana bimbang kes-kes luar negara seperti yang berlaku di England sehingga beberapa negara menyekat penerbangan dari UK.
“Kerajaan belum menerima sebarang laporan mengenai varian baharu Covid-19 dari United Kingdom (UK) yang didakwa lebih mudah merebak.
“Setakat ini tiada laporan di Malaysia tetapi jika ada kita akan buat seperti kluster Sivagangga, oleh itu kawalan sempadan amat penting untuk diberi keutamaan pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.
Jangkitan varian baharu coronavirus menyebabkan sekatan Covid-19 diperketatkan di beberapa bahagian di UK termasuk England, Scotland dan Wales.
Kerajaan Britain menyifatkan jangkitan varian baharu yang diberi nama VUI 202012/01 itu lebih mudah berjangkit berbanding varian terdahulu.
Selain itu, pakar memaklumkan virus sering menjalani proses mutasi sepanjang masa dan keadaan itu menjadi antara faktor kewujudan varian baharu dalam Covid-19. -UTUSAN ONLINE