KLANG: Tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai pekerja asing didera lelaki anggota keselamatan yang memakai pakaian tentera dalam laman sosial Facebook.
Dalam video berdurasi 19 saat itu memaparkan seorang lelaki memakai seluar celoreng memegang alat seperti cambuk mengarahkan pekerja asing itu berguling atas tanah.
Menurut sumber, pekerja asing itu dikatakan telah melanggar perintah kuarantin yang ditetapkan pihak berkuasa.
Difahamkan, individu yang didera itu merupakan pekerja di kilang sarung tangan, Top Glove yang kini sedang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sementara itu, Panglima Briged Ke-11 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Norsham Mat ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedia maklum berhubung perkara tersebut, namun enggan mengulas lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung perkara tersebut.
“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan polis dan sekiranya mana-mana pihak mempunyai maklumat diminta tampil berbuat demikian.
“Sekiranya terdapat laporan polis, kita akan menjalankan siasatan , namun tidak ada buat masa ini,” katanya. – UTUSAN