Tuduhan persetubuhan luar tabii, cabul: Pendakwah selebriti mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Tuduhan persetubuhan luar tabii, cabul: Pendakwah selebriti mengaku tidak bersalah

PENDAKWAH selebriti dihadapkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pagi tadi terhadap tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 25, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pagi tadi terhadap tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.

Pendakwah muda itu turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul mangsa yang sama di Mahkamah Majistret di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di antara pukul 3 pagi dan 4 pagi, 17 Oktober lalu di rumah sewanya di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana dekat sini.

Hakim Faiz Dziyauddin menetapkan 19 Februari tahun depan untuk sebutan kes dan memerintahkan pendakwah muda itu dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memberikan syarat tambahan yang melarang Syed Shah Iqmal mengganggu mangsa sepanjang perbicaraan serta memerintahkannya melapor diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya P. Vitiya Monisha manakala peguam Syed Amirul Syed Edros mewakili tertuduh.

Dia didakwa melakukan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Syed Shah Iqmal didakwa atas tuduhan menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan mangsa serupa, pada waktu dan di tempat yang sama.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir menetapkan kes itu disebut pada tarikh yang sama untuk serahan dokumen.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan dia turut dilarang mengganggu mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya