GEORGETOWN: Kapal layar mewah yang sebelum ini dikaitkan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tranquility atau dahulunya dikenali sebagai Equanimity dikesan berlabuh berhampiran Pangkalan Raja Tun Uda dekat sini.
Kapal yang ketika ini dimiliki pengendali pusat peranginan, Genting Malaysia Bhd. (Genting) itu dikatakan memasuki perairan negeri ini sejak Selasa lepas dan kali kedua berlabuh di lokasi sama selepas Jun lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Tanjung City Marina petang kelmarin mendapati, kapal berkenaan menjadi tarikan dalam kalangan penduduk tempatan yang tidak mahu terlepas peluang melihat sendiri kapal mewah tersebut.
Difahamkan, lokasi berkenaan kini menjadi tumpuan orang ramai termasuk kaki pancing pada waktu malam sambil merakamkan gambar kapal itu yang dihiasi dengan lampu.
Seorang penduduk, Anwar Omar, 51, berkata, dia ke situ bagi melihat dengan lebih dekat kapal yang pernah terpalit dengan kontroversi dua tahun lalu.
Kakitangan di sebuah pejabat swasta berhampiran Padang Kota Lama itu berkata, dia meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk merakam gambar kapal berkenaan yang sebelum ini hanya dilihat menerusi televisyen.
“Saya pada mulanya tidak menyedari tentang kewujudan kapal itu di sini. Namun petang tadi, pandangan mata saya tertoleh ke arah lautan ini semasa pulang dari tempat kerja lalu terpandang sebuah kapal yang mirip dengan kapal yang pernah menjadi perbualan hangat suatu ketika dulu.
“Saya sebelum itu membuat carian maklumat berkaitan menerusi talian internet pada telefon bimbit,” katanya yang teruja melihat kapal mewah berkenaan pada jarak dekat.
Tranquility yang sebelum ini dikaitkan dengan ahli perniagaan Jho Low Teck atau Jho Low telah dijual kepada Genting Malaysia Bhd. iaitu syarikat ‘special purpose vehicle’ (SPV) milik Genting pada harga AS$126 juta (RM514 juta) tahun lalu. – UTUSAN ONLINE