TMYIC jadi penanda aras pembangunan belia - Utusan Malaysia

TMYIC jadi penanda aras pembangunan belia

REEZAL Merican (empat dari kanan) meninjau tapak projek TMIYC di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, Johor. -UTUSAN/NUR ALINA HASSAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR : Pembinaan Tengku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di seluruh daerah di Johor bakal menjadi penanda aras dalam pembangunan aktiviti sukan dalam kalangan belia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kewujudan pusat dibina dalam skala besar itu berupaya mencipta salah satu mercu tanda terhadap pembangunan infrastruktur berkonsepkan golongan belia.

“Pembinaan TMIYC ini akan mengambil kira semua aspek bukan hanya tentang perkara membabitkan aktiviti yang ada kaitan dengan anak muda semata, tetapi juga membentuk sebuah ekosistem dalam menjalinkan hubungan dengan masyarakat sekeliling.

“Dan saya secara peribadi ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membantu merealisasikan impian supaya akhirnya TMIYC ini menjadi sebuah realiti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke tapak projek TMIYC di Stadium Sultan Ibrahim Muar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pegawai Daerah Muar, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad.

Menurut Reezal, TMIYC bakal menjadi penanda aras bagi aktiviti sukan anak muda yang berkonsep lebih holistik.

“Jika melihat pada aspek-aspek terkini, pembangunan belia pada 70an, 80an dan 90an tentulah berbeza sama sekali dengan pembangunan yang ada sekarang terutama sekali dalam aspek dan ciri-ciri yang ada pada keadaan terkini dimasukkan di dalam pembangunan TMIYC di Muar.

“Insya Allah mudah-mudahan dengan adanya pusat sukan anak muda ini, ia akan membawa suatu bentuk pembangunan belia yang lebih lestari dan dapat disemarakkan dengan pelbagai aktiviti dalam menjadikan belia Johor antara golongan yang dapat melakukan kebaikan dan memangkin pembangunan negeri,” katanya.

TMYIC di daerah ini bakal dibina di Stadium Muar dengan memberikan nafas baharu terhadap konsep dan infrastruktur.

Dengan keluasan seluas 11 hektar, TMIYC akan merangkumi kemudahan seperti padang bola lampu sintetik, gelanggang ekstrem, hab e-sport termasuk fasiliti penting iaitu surau, asrama dan kafe. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya